KUCHING, 17 Feb: Persatuan Autisme Kuching berharap agar lebih banyak pusat latihan untuk kanak – kanak istimewa dibangunkan di Sarawak.
Setiausahanya, Duane Reggie Tersan berkata, ini termasuklah menambah pusat yang dikhususkan untuk kanak – kanak autisme.
“Ketika ini masih kurang pusat latihan untuk kanak – kanak istimewa di Sarawak.
“Oleh itu kita menaruh harapan agar kerajaan memberi tumpuan mengenai perkara ini pada pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Bunny Run Autism 2023 di Pusat Persatuan Autisme Kuching pada hari ini.
Mengulas lanjut keperluan pusat latihan kanak – kanak, Duane Tersan berkata, pusat dikendalikan pihaknya merupakan pusat tunggal untuk kanak – kanak autisme di Kuching.
“Pusat ini sudah tidak mampu untuk menampung kanak-kanak autisme yang semakin meningkat,” katanya.
Katanya, pusat berkenaan berkapasiti kecil dan oleh sebab itu mereka menyeru lebih banyak kemudahan sedemikian diwujudkan di sini. – TVS.