KUCHING, 16 Feb: Seramai 52 usahawan dari Singapura bakal berkampung di bandaraya ini dari 20 hingga 24 Februari untuk mempromosikan perkhidmatan serta berkongsi pengalaman mengenai landskap perniagaan di sini.
Khabar baik itu diumumkan kenyataan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) berhubung kehadiran usahawan dari Republik berkenaan turut dengan kerjasama pihak Bosses Network Singapore.
Menurut kenyataan, kumpulan usahawan terbabit merangkumi mereka dari pelbagai latar belakang, seperti F &B, logistik, pembungkusan dan pelbagai lagi.
“Tujuan program ini ialah untuk mempromosikan peluang perniagaan di Sarawak serta meningkatkan pemahaman budaya antara Singapura dan Sarawak, di samping menjalin rangkaian dengan pemilik perniagaan lain, dan mempelajari landskap perniagaan di Sarawak,” kata STATOS.
Kenyataan juga mendedahkan inti pati acara empat hari berkenaan akan merangkumi mesyuarat dan pembentangan perniagaan, serta lawatan ke beberapa mercu tanda ikonik di Kuching, seperti Kampung Budaya Sarawak dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh.
Justeru itu, STATOS dan Bosses Network Singapore mempelawa lebih ramai usahawan serta ahli perniagaan di sekitar Kuching untuk menyertai majlis makan malam rangkaian pada 22 Februari di Restoran Lok Thian.
Tarikh: 22 Februari 2023, 5.30pm (Acara diadakan dalam Bahasa Mandarin)
Lokasi: Grand Riverine Ballroom @ Level 3 Riverine Diamond Mall
Kos: RM100 (Perlu dibayar semasa makan malam, hanya makanan halal yang disajikan) Sila bawa kad perniagaan anda untuk majlis makan malam.
Nombor telefon (WhatsApp):
+65 91782713 Charles
+65 90712525 Eric
Tarikh akhir pendaftaran: 19 Februari 2023
Maklumat lanjut mengenai acara ini, sila layari laman web STATOS di www.statos.com.sg. – TVS