Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kiri) pada sidang media Lawatan Kerja di Terminal Krew Pelabuhan Miri, Pulau Melayu, di sini, hari ini. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Petros labur RM2 bilion bangunkan loji tenaga gas di Miri – Abang Johari

ByHafeezzur Muzamir

MIRI, 16 Feb: Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan melabur RM2 bilion untuk membangunkan loji Tenaga Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) dengan tenaga 400 megawatt (MW), kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, ini menjadikan Miri bakal mempunyai gas asli yang berpatutan, boleh dipercayai dan lebih bersih.

Pelaburan oleh Petros itu ujar Abang Johari dilakukan kerana Miri dikenal pasti sebagai hab gas strategik terbaharu di Sarawak.

“Operasi loji itu kelak akan meningkatkan bekalan kuasa di sini.

“Petros turut bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi melaksanakan projek ini, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Terminal Pertukaran Krew Lembaga Pelabuhan Miri, Pulau Melayu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, bekalan gas dari loji itu akan menghubungkan kawasan di utara Sarawak termasuk Limbang dan Lawas serta hab di Bintulu.

Jelas beliau, bekalan gas itu akan disalurkan ke Kuching dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu, Sarawak akan mengaplikasikan model digunakan negara luar bagi melaksanakan projek pendalaman saluran akses Delta Batang Baram.

Kata beliau, projek yang menelan belanja RM230 juta itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.

“Kita melihat apa yang berlaku kepada sungai di seluruh dunia, misalnya di Rotterdam, Belanda yang pada asalnya bermasalah namun mereka membina saluran khas.

“Begitu juga di Adelaide, Australia dan Brunei. Oleh itu, kita akan menggunakannya sebagai model sama, “ ujarnya.

Jelas Abang Johari, apabila siap kelak, ia akan membolehkan 70 peratus kapal melalui Kuala Baram manakala Pelabuhan Miri akan mampu mengendalikan kontena 1, 000 kaki (TEU) berbanding hanya 100 sahaja pada masa ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan