SEMATAN, 16 Feb: Hilang hampir 24 jam di Kuari Batu Perigi, Jalan Kampung Perigi, Sematan, Muhammad Rayyan Bujang Abdul Qayyum, berjaya dikesan oleh Daisy The Dog pada jam 1 petang tadi.
Baca artikel berkaitan >>>>> SAR Bujang diperluaskan 3 km daripada lokasi hilang
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata anjing pengesan milik Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bersama pengendalinya, Dominic Bahong menjumpai kanak-kanak berkenaan dalam keadaan selamat dan masih aktif dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Hendery Ardimansyah berkata kanak-kanak berusia dua tahun yang mesra dengan panggilan Bujang itu, ditemui selepas kira-kira 23 jam hilang di dalam kawasan ladang kelapa sawit berdekatan kuari berkenaan.
“Terdapat sedikit calar pada badan mangsa namun tiada kecederaan serius,” ujarnya.
@tvstvmy Hilang hampir 24 jam di Kuari Batu Perigi, Sematan, Muhammad Rayyan Bujang Abdul Qayyum, berjaya dikesan oleh Daisy The Dog pada jam 1 petang tadi. 🎥 Pusat Gerakan Operasi (PGO) #TVS122 #TVSNews
♬ original sound – TVS – TVS News
Bujang sebelum ini dilaporkan hilang selepas ibunya menyedari mangsa tiada di sebelah lagi ketika menunggu suaminya iaitu bapa mangsa pulang daripada kerja di pondok kuari berkenaan.
Menyedari kehilangan anaknya, ibu mangsa bertindak memanggil serta bergegas mencari mangsa dengan bantuan suaminya dan beberapa pekerja sekitar, namun usaha tersebut gagal.
“Pencarian mangsa pada SAR hari kedua diperluaskan dan pasukan penyelamat dibahagikan kepada dua, dengan kaedah ‘base line method’ dalam radius tiga kilometer (km) dari lokasi mangsa dikatakan hilang,” menurut PGO dalam satu kenyataan hari ini.
SAR berkenaan melibatkan tujuh anggota pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, lima anggota masing-masing dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga empat orang awam. -TVS