KUALA LUMPUR, 15 Feb: Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM250 juta bagi membantu penoreh getah di seluruh negara yang terkesan akibat musim tengkujuh.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bantuan tunai yang dikenali sebagai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) itu disediakan susulan ramalan musim tengkujuh yang dijangka berlaku sepanjang tahun ini.
“Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh kepada 318,642 pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas akibat cuaca buruk berlarutan.
“Setiap penerima diberi bantuan RM800 yang akan dibayar secara ansuran sebanyak tiga kali.
“Bayaran BMT sebanyak RM300 pula akan dibayar pada November dan Disember tahun ini manakala baki RM200 akan dibayar pada Januari 2024,” katanya pada sidang Parlimen hari ini.
Menurut Rubiah, jumlah keseluruhan untuk melaksanakan inisiatif itu ialah sebanyak RM254,913,600.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) juga mengadakan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) bagi menjana pendapatan sampingan untuk penoreh getah yang terkesan.
“Program-program yang dilaksanakan di bawah AET ini dilaksanakan dalam bentuk agro makanan dan juga hasil-hasil pertanian baharu,” tambahnya. -TVS