Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto: BERNAMA

Pemerkasaan TVET, inisiatif KKDW mesra anak muda

ByYusuf Shukri

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Inisiatif pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) antara lapan strategi utama kerajaan melibatkan pembangunan belia dalam menangani isu yang mengaitkan golongan tersebut ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan amat prihatin terhadap golongan belia luar atau generasi baharu bandar menerusi dasar yang digariskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Dalam menjadikan kementerian mesra anak muda ialah dengan memfokuskan kepada pemerkasaan TVET yang mana kementerian telah memperkenalkan program TVET Junior, Program TVET Tahfiz, Program TVET Aras Tinggi, Program Teknousahawan TVET, Program Pendigitalan TVET yang akan menjadi kerangka asas KKDW memartabatkan TVET seterusnya memenuhi permintaan pasaran”.

“Kolaboratif dengan lain-lain kementerian untuk mendekati permasalahan desa ini turut dilaksanakan sebagai langkah untuk mengelakkan budaya kerja silo,” katanya pada Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, kerajaan kini yakin dengan program TVET yang sedang berlangsung ketika ini berdasarkan kebolehpasaran graduan TVET.

“Terdapat 280 institusi pendidikan seluruh negara dengan 529 kursus TVET.”

“Kursus-kursus tersebut ditawarkan bersesuaian dengan permintaan guna tenaga kerja pasaran dan kebolehpasaran graduan TVET kini merekodkan 98.4 peratus,” ujarnya.

Tambahnya sebagai langkah ke hadapan kerajaan akan menjalin lebih banyak kerjasama pintar bersama pihak swasta bagi memastikan pasaran TVET dapat diwujudkan lebih banyak lagi selepas ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mendedahkan Teras 5 Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030); Keunggulan Generasi Belia Luar Bandar telah menggariskan lapan strategi utama melibatkan 16 program untuk pemerkasaan golongan belia luar bandar yang bersahsiah tinggi, berilmu, berkemahiran, patriotik, kreatif, inovatif, mengungguli bidang keusahawanan dan mempunyai pendapatan yang mampan.

“Inisiatif yang dilaksanakan termasuklah Program Start Right (PSR) serta TVET yang menjadi antara pilihan utama pendidikan dan kerjaya belia luar bandar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang meminta kementerian menyatakan pembaharuan yang dibawa dalam menjadikan KKDW mesra anak muda dan cakna kepada isu kemaslahatan dan kemajuan desa.  – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan