KUCHING, 15 Feb: Delegasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Indonesia melihat Sarawak mempunyai pasaran yang besar untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Usahawan perabot, Husein Hasyimy berkata, beliau yang kali pertama berkunjung ke negeri ini tidak menyangka pasaran industri kreatif di sini sangat luas untuk diteroka.
Sehubungan itu katanya, PKS Indonesia boleh menjalinkan kerjasama dengan lebih erat lagi dalam industri berkenaan.
“Saya ingin memasuki pasaran di Sarawak dengan membawa hasil perabot kerana kebolehpasaran di sini agak tinggi dan mampu untuk terus berkembang maju,” katanya.
Husein merupakan salah seorang usahawan PKS Indonesia yang menyertai Minggu Reka Bentuk Sarawak (SDW) 2023 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Sementara itu, pengusaha tekstil Indonesia, Murniyati Iwapi berharap agar lebih banyak pameran perniagaan di Sarawak akan turut menjemput usahawan luar negara.
“Selepas ibu negara Indonesia yang baharu berpindah ke Kalimantan, saya berharap ia akan membuka peluang yang lebih besar untuk menjana ekonomi di Kalimantan Barat dan Malaysia, khususnya di Sarawak,” katanya.
Pada masa sama beliau turut bersyukur kerana dapat menyertai SDW 2023.
“Saya berharap agar hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Indonesia semakin erat dan seterusnya memudahkan urusan pengeksportan dan pengimportan barangan,” katanya.
Sementara itu, usahawan makanan segera, Taufik Muhyi juga bersetuju supaya hubungan perdagangan kedua-kedua negara ditingkatkan terutamanya dengan merangka sistem yang lebih teratur bagi aktiviti eksport dan import.
“Ketika ini masih ada bidang yang mempunyai kekurangan seperti veterinar tempatan dengan Indonesia, mesti ada jalan penyelesaian bagi memajukannya dan infrastruktur Malaysia boleh membantunya.
“Sekarang adalah bagaimana kerjasama ini dapat dijalinkan sehingga berjaya,” katanya.
Untuk rekod, SDW 2023 bertujuan untuk menghimpunkan idea inovatif dan kreatif dalam industri reka bentuk selain mempamerkan trend terkini serta teknologi dalam seni bina, fesyen, reka bentuk grafik dan banyak lagi.
Acara ini dianjurkan oleh Sarawak Design Centre (SARADEC) dan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia, serta diperakui oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MCTP) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan serta disokong oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA). -TVS