KUALA LUMPUR, 15 Feb: Secara keseluruhan hampir 300,000 pemeriksaan secara fizikal dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sepanjang tahun lepas melibatkan semua jenis kapal dan bot nelayan di perairan Malaysia, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun Maritim Malaysia beroperasi dengan keupayaan aset semasa, agensi itu masih menunjukkan prestasi cemerlang.
Bagaimanapun beliau berkata Maritim Malaysia mempunyai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi meningkatkan keupayaan aset termasuk penggunaan radar.
“Buat masa ini, Maritim Malaysia mempunyai aset laut dan udara, (manakala) bagi penggunaan radar, ia telah dimasukkan dalam pemohonan Rolling Plan Kedua, Ketiga namun belum berjaya, tetapi kita akan terus memohon.
“Keperluan radar di sebelah pantai timur belum ada. Radar sistem pengawasan laut ini idealnya digunakan mengawasi seluruh sempadan laut (negara) namun masih ada kekurangan… rancangannya (sudah) masuk (dalam rolling plan) tetapi tertakluk pada kelulusan MOF (Kementerian Kewangan),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin Nasution menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung kesiapsiagan aset Maritim Malaysia termasuk penggunaan radar pengawasan laut.
Menjawab soalan asal Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berhubung usaha kerajaan mengatasi pencerobohan nelayan asing di kawasan Laut China Selatan, Saifuddin berkata selain tindakan pengawasan 24 jam di perairan negara, pelbagai operasi bersepadu turut dilakukan.
Beliau berkata ia termasuk Ops Naga melibatkan beberapa agensi lain, Ops Gelora, Ops Landai serta Ops Kuda Laut untuk membenteras pencerobohan nelayan asing. – TVS