SARIKEI, 15 Feb: Prihatin dengan nasib penduduk rumah Panjang Dangat yang terkesan akibat kebakaran pagi kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Beliau berkata sumbangan tunai berjumlah RM300 disediakan untuk setiap pintu yang terjejas bertujuan untuk meringankan beban mangsa.
“Saya juga difahamkan Ahli Parlimen yang lain juga ada memberi bantuan kepada semua mangsa,” katanya ketika ditemui TVS selepas menghadiri Majlis Apresiasi Tabika dan Taska Kemas Sarikei di sini, hari ini.
Menyentuh cadangan pembinaan semula rumah panjang berkenaan, beliau berkata, perkara itu memerlukan bantuan dan pertimbangan susulan daripada kerajaan.
Ini kerana katanya, pelaksanaannya membabitkan peruntukan yang besar selain memerlukan masa bagi merealisasikannya.
“Untuk membangunkan semula rumah panjang itu, kita memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri. Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Premier Sarawak kita dan saya berharap agar mendapat peruntukan yang cukup untuk membangunkan semula rumah panjang itu,” ujarnya.
Terdahulu, kebakaran yang memusnahkan 18 daripada 34 pintu rumah panjang itu telah mengakibatkan seramai 107 penghuni hilang tempat tinggal namun kesemua mangsa dilaporkan selamat.
Mangsa daripada 22 buah keluarga itu juga dilaporkan tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing.-TVS