Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Penasihat Belia Johor oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Foto: FB Khairy Jamaluddin

Khairy dilantik Penasihat Belia Johor

ByBernama

JOHOR BAHRU, 15 Feb: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini bertitah baginda telah mengadakan pertemuan dengan Khairy dan bersetuju untuk melantik bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor,” titah Tunku Ismail menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, hari ini.

Tunku Ismail, yang juga pemilik kelab bola sepak itu, pada 28 Januari lepas telah memberi bayangan kemungkinan menawarkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif JDT FC dan Penasihat Orang Muda Johor kepada Khairy.

Sementara itu, Khairy menerusi hantaran di Facebook, menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Tunku Ismail melantiknya, sekali gus teruja menyertai Kelab JDT FC yang terbesar di Asia Tenggara dan sentiasa mempamerkan prestasi cemerlang pada setiap musim perlawanan.

“Saya akan menyumbangkan sedikit pengalaman yang ada pada saya untuk membantu Tunku Mahkota Johor dalam visi untuk menjadikan JDT FC kelab bola sepak paling unggul di benua Asia.

“Di samping itu, saya juga akan membantu merealisasikan hasrat Tunku Mahkota Johor dalam memperkasakan belia bangsa Johor melalui pendidikan, latihan, keusahawanan, kebajikan dan memberi perlindungan yang sewajarnya kepada remaja dan kanak- kanak,” katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, akan membalas kepercayaan yang diberikan dan berusaha bersungguh-sungguh demi kecemerlangan berterusan JDT FC dan pemerkasaan belia di Johor.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pelantikan Khairy adalah tepat, berbekalkan pengalaman berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan sejak 2013 hingga 2018.

“Saya menyambut baik pelantikan Khairy dan diharapkan dapat bekerjasama bagi memastikan agenda pembangunan belia khususnya di Johor dapat dijayakan dengan lebih berkesan.

“Saya juga berharap, berbekalkan pengalaman dan keupayaan dimilikinya, beliau dapat memberikan idea dan buah fikiran baharu yang lebih dinamik untuk orang muda Johor serta pembangunan bola sepak khususnya di seluruh Johor,” katanya.

Mohd Hairi turut menyeru belia dan orang muda di Johor agar terus memberikan sokongan bagi membolehkan Khairy menjalankan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan baik. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan