Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata ini dapat memastikan tata kelola negara jelas tanpa gangguan dan membendung ketidakstabilan politik sepanjang tempoh itu selain disokong amalan semak imbang oleh pihak pembangkang.
“Saya cadangkan kita wujudkan penggal tetap Parlimen supaya pentadbiran kerajaan jelas. Rakyat jelas untuk uruskan kehidupan dan perniagaan juga tenang. Apabila penggal Parlimen ini ditetapkan, semua tahu, tiada teka-teki, tidak ada yang nak tebuk atap, ikut pintu belakang tidak ada.
“Kita tetapkan lima tahun sebuah kerajaan yang diangkat, diberi mandat untuk mereka melaksanakan janji, tawaran dan manifesto mereka tanpa diganggu gugat,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pula berharap kerajaan dapat meneruskan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sehingga habis tempohnya.
“RMK12 yang sudah dimaktubkan membawa aspirasi yang cukup penting untuk semua rakyat Malaysia. Ia benar-benar menitikberatkan pembangunan yang mampan dan juga pengagihan yang adil,” katanya.
Beliau meminta kerajaan tidak menganaktirikan negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang atas faktor banyak projek strategik bersifat infrastruktur di negeri tersebut berpotensi menjadi pemangkin ekonomi negara telah diluluskan dalam RMK12.
Sementara itu, Rodziah Ismail (PH-Ampang) mencadangkan supaya kerajaan membentuk jawatankuasa Kabinet bagi membentangkan Kertas Putih ke arah penubuhan Majlis Pengurusan Cerun berteraskan Pelan Induk Cerun Negara untuk pengurusan, pemeliharan dan pemuliharan kawasan cerun.
“Kita bimbang jika isu berkaitan pengurusan cerun dan lereng bukit tidak ditangani,kita akan berdepan lebih banyak tragedi tanah runtuh,” katanya. -TVS