Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Foto: TVS

Kembara Agong di Borneo September ini, sempena Hari Malaysia

ByYusuf Shukri

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Kembara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Aminah Azizah Maimunah Iskandariah di Borneo dijadual berlangsung pada September ini.

Kembara menelusuri Lebuhraya Pan Borneo bermula di Sarawak melalui Brunei dan Sabah itu diadakan sempena sambutan Hari Malaysia, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menteri Kerja Raya itu berkata, selepas mendengar titah Seri Paduka pada Isnin lalu, beliau berasa teruja kerana Seri Paduka berkenan untuk memandu di Borneo dan seterusnya bertemu rakyat jelata.

“Berita itu sangat dialu-alukan dan sebagai orang Sarawak dan Borneo.

“Sekarang masih awal namun saya difahamkan beberapa mesyuarat membabitkan agensi dengan jabatan di Sarawak sudah dilakukan,” katanya kepada TVS di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya titah Baginda pada Isnin lalu itu secara tidak langsung menggambarkan penghargaan atas usaha Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

“Pada masa sama, ia menjadi penghargaan kepada usaha yang digalas oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang merupakan bekas Menteri Kerja Raya selama dua penggal.

“Saya kebetulannya diberi amanah meneraju kementerian ini, berasa bertuah kerana kerja-kerja permulaan Pan Borneo ini adalah semasa era Fadillah,” katanya.

Alexander Nanta berkata, kredit yang dizahirkan oleh Seri Paduka terhadap pembinaan projek berkenaan merupakan pencapaian Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Ketika menyampaikan Titah Diraja sempena istiadat pembukaan Sidang Parlimen pada Isnin lepas, Al-Sultan Abdullah menzahirkan impian Baginda untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo khusus untuk mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat di pedalaman Sarawak dan Sabah. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan