Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kampung Sapit menawarkan pemandangan indah untuk mereka yang gemarkan aktiviti di kawasan bukit. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Kampung Sapit, ‘port healing’ mendamaikan di Sarawak

ByFirdaus Ismail

MEMBELEK pelbagai media sosial kebelakangan ini, perkataan ‘healing’ sering menjadi tanda pagar kerana banyak digunakan oleh pengguna bagi ‘menemani’ video yang dikongsi.

Majoriti pengguna media sosial terutamanya golongan muda akan memuat naik video sedang berehat di atas kerusi perkhemahan yang berlatar belakang keindahan alam semula jadi seperti air terjun, sungai, bukit atau tasik.

Apabila bercakap mengenai lokasi alam semula jadi, Sarawak sememangnya dikenali kerana memiliki banyak lokasi menarik untuk dijadikan tempat ‘healing’.

Salah satu yang harus berada dalam senarai anda ialah Kampung Sapit, Padawan.

Pokok padi yang ditanam di sekitar tapak perkhemahan turut menambah seri kawasan ini. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Menariknya, kawasan pergunungan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia ini hanya berjarak sekitar 50 kilometer (km) sahaja dari pusat bandar.

Oleh itu ia hanya memakan masa perjalanan sekitar satu jam 30 minit jika anda memandu dengan penuh berhemah dan tidak memecut laju.

Penulis berkesempatan merasai suasana damai di kampung berkenaan baru – baru ini.

Pada mulanya, penulis agak berbelah bagi untuk memandu ke sana kerana bimbang permukaan jalan rayanya kurang ‘elok’.

Bagaimanapun setelah diyakinkan oleh rakan setugas yang jaringan jalan raya ke situ ‘kemas’, tanpa berlengah penulis terus menghubungi pemilik tapak perkhemahan di sana bagi membuat tempahan pada saat akhir.

Penulis bernasib baik kerana ada tapak yang ‘kosong’ walaupun berpergian ke sana pada hujung minggu.

Sepertinya Kampung Sapit mengalu-alukan kehadiran penulis yang ingin ‘healing’ di situ.

Sepanjang perjalanan, pemandangan hijau menemani penulis, sudah ‘healing’ walaupun belum tiba di lokasi itu.

Identiti Sarawak jelas terpancar pada dekorasi tapak perkhemahan ini. Foto Firdaus Ismail (TVS).

Pemilik tapak perkhemahan yang bernama Julia Ridang itu juga sangat baik apabila berkongsi tips memandu apabila tiba di laluan berbukit.

Katanya, jangan lupa tukar kepada gear rendah dan bagi penulis yang tidak biasa memandu di jalan seperti itu, pastinya panduan berkenaan sangat berguna.

Sampai sahaja di Kiyau Campsite, pemandangan hijau dan kuning menyambut pandangan penulis, hilang kerinduan terhadap kampung halaman di Kedah.

Ini kerana pemilik tapak perkhemahan itu menaman padi bukit di sepanjang laluan ke tapak perkhemahan dan kebetulan pula padi sudah mula menguning, suasana tenang jelas terpancar.

Menariknya, anda tidak perlu berbelanja besar untuk menikmati pengalaman healing di sini kerana bayaran serendah RM40 sahaja dikenakan untuk tapak serta khemah malah kemudahan surau, tempat makan, bilik mandi dan tandas disediakan.

Anda cuma perlu membawa makanan dan pakaian sesuai sahaja kerana dapur untuk memasak turut disediakan.

Sesejuk mata memandang, Kampung Sapit boleh dikatakan lokasi percutian tersembunyi di Padawan. Foto Firdaus Ismail (TVS)

Julia berkata, kampung berkenaan yang dikenali sebagai ‘kampung di atas awan’ sering menarik minat pengunjung untuk melihat keindahan gunung ganang dan awan karpet yang sering diburu oleh pendaki bukit.

Sekiranya anda seorang yang sukar berpisah dengan internet, jangan bimbang kerana liputan internet di sini cukup pantas, setanding di Kuching.

Jadi tiada alasan untuk tidak datang.

Tapak perkhemahan yang disediakan juga selesa bagi pengunjung yang tidak biasa bermalam di kawasan hutan. Foto Firdaus Ismail (TVS).

Seawal pukul 6.30 pagi, penulis sudah bersedia di pelantar buluh yang disediakan untuk melihat awan karpet namun hari itu gumpalan putih berkenaan tidak mahu menunjukkan diri.

Apa yang penulis nikmati ialah kabus pergunungan namun ia sangat mendamaikan, berbaloi datang. 

Ia tetap pengalaman menarik menyaksikan keindahan alam di sini dengan ditemani secawan kopi panas.

Menurut Julia, di kawasan itu, terdapat tujuh lagi tapak perkhemahan.

“Selain itu, pengunjung boleh jungle tracking untuk mandi manda di kawasan air terjun di sini.

Air Terjun Piin Bereh yang terletak tidak di sekitar Padawan sesuai untuk dilawati. Foto Julia Ridang.

“Terdapat banyak air terjun yang cantik antaranya Air Terjun Subah, Air Terjun Sangoh, Air Terjun Pin Bereh dan Air Terjun Kiyau,” katanya.

Disebabkan kesuntukan masa, penulis sik sempat untuk menjelajah kawasan air terjun.

Yang pastinya, masih banyak keindahan di sekitar Padawan yang belum diteroka dan ya penulis mahu ulangi trip ke Kampung Sapit. – TVS.

@tvstvmy

Kampung Sapit, Padawan merupakan salah satu ‘port healing’ yang harus anda kunjungi untuk menikmati keindahan alam semula jadi seperti air terjun, sungai, bukit atau tasik. 🎥 Firdaus Ismail (TVS) #TVS122 #TVSNews #Healing

♬ original sound – TVS – TVS News

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan