LAWAS, 15 Feb: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) sebagai badan peneraju pembangunan modal insan koperasi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa berusaha memastikan gerakan koperasi di Malaysia tidak ketinggalan dalam semua aspek pendidikan dan latihan.
Pengarah IKMa Zon Sarawak, Siti Maimunah Jerni berkata, IKMa sentiasa berusaha merangka pelbagai program bagi memastikan gerakan koperasi terus kekal kompetitif dan berdaya saing dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks pada masa kini.
“Pada tahun 2022, IKMa telah berjaya melatih seramai 35,042 orang peserta dengan 844 program. Program ini meliputi program pembangunan kepimpinan koperasi, program asas perniagaan koperasi, program bimbingan bersasar serta program belia dan masyarakat,” katanya pada Program Turun Padang ke Arah Memasyarakatkan Koperasi 2023 di sini, semalam.
Beliau berkata, program yang telah dilaksanakan telah memberi impak dan manfaat positif kepada masyarakat.
“Daripada 35,042 orang peserta ini, seramai 22,413 orang peserta dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam sektor koperasi. Seramai 6,986 orang mengalami peningkatan tahap kompetensi dan profesionalisme dalam pengurusan dan selebihnya mengalami pemerkasaan modal insan dalam perniagaan dan sektor koperasi,” ujarnya lagi.
Katanya, selain daripada program latihan dan bimbingan koperasi, IKMa juga memastikan gerakan koperasi mendapat maklumat terkini melalui penyelidikan dan penulisan yang dilaksanakan oleh pegawai IKMa bersama pihak pakar dalam industri masing-masing.
Beliau juga memberitahu di Sarawak pada tahun 2022, IKMa Zon Sarawak telah berjaya melaksanakan lebih kurang 125 program dengan penyertaan seramai 3,781 orang peserta.
Beliau menjelaskan lagi IKMa juga akan membuka pejabat baharu bertempat di Times Square Miri, pejabat itu bertujuan membolehkan IKMa menyalurkan maklumat dengan mudah dan lebih dekat dengan kumpulan sasar yang memerlukan.
“Penubuhan IKMa cawangan Miri diharap dapat memudahkan para koperator yang berada di utara negeri Sarawak seperti Bintulu, Limbang dan Lawas mendapatkan maklumat berkaitan dengan program yang dilaksanakan IKMa,” ujarnya. – TVS