KUCHING, 15 Feb: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sarawak merancang untuk melaksanakan 33 Siri Kursus Asas pada tahun ini dalam usaha memantapkan lagi mutu dan kualiti perkhidmatannya.
Pengarah APM Negeri Sarawak, Abdul Wahab Rahim berkata, kursus tersebut bukan sahaja untuk kakitangan APM, malah ia terbuka kepada orang awam termasuk agensi swasta.
“InsyaAllah, kita merancang akan mengadakan 33 siri kursus asas dalam setahun. Kursus tersebut akan dibuka kepada orang ramai, tetapi ada juga kursus yang kita gabungkan anggota APM dan kursus itu nanti kita boleh buka kepada agensi iaitu entiti kerajaan atau swasta,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Amanat Tahun Baharu YS Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sarawak Tahun 2023 hari ini.
Selain mengadakan kursus asas, APM Negeri Sarawak juga bakal menubuhkan Kompleks APM sebagai tempat untuk melatih anggota, individu atau badan bukan kerajaan (NGO) dalam menghadapi situasi kecemasan atau bencana alam.
“Kompleks APM akan dibina berdasarkan beberapa fungsi. Kompleks ini akan dijadikan sebagai pusat latihan APM Negeri Sarawak. Ini kerana APM Negeri Sarawak belum mempunyai pusat latihan. Pusat latihan ini bukan sahaja untuk melatih pegawai dan anggota APM, tetapi melatih sama ada individu atau NGO yang melaksanakan kerja-kerja berkaitan kecemasan atau bencana. Jadi, sekarang ini kita hanya perlu menyediakan jurulatih daripada orang tempatan dan jurulatih daripada pusat APM yang sedia ada,” katanya.
Pada majlis tersebut seramai 16 anggota APM Negeri Sarawak telah menerima sijil kenaikan pangkat dan pingat. – TVS