KUALA LUMPUR, 14 Feb: Sri Aman dijangka akan lebih dikenali sekiranya Kembara Yang di-Pertuan Agong ke Borneo yang sedang dirancang akan melalui bahagian berkenaan, kata Dato Sri Doris Sophia Brodie.
Beliau yang juga Ahli Parlimen kawasan itu yakin, kembara berkenaan kelak akan menarik minat rakyat di seluruh negara untuk mengenali Sarawak dan kawasan yang diwakilinya.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Agong zahir impian memandu di PAN Borneo, bertemu rakyat Sabah dan Sarawak
- 2. Kembara Agong di Borneo dinanti rakyat luar bandar
“Jika jelajah itu berjaya diadakan, saya berharap agar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berkenan untuk singgah ke Sri Aman dan beramah mesra dengan penduduk di sana.
“Pada masa sama, Seri Paduka akan mengetahui keistimewaan yang hanya terdapat di Sri Aman,” katanya kepada TVS hari ini.
Ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 semalam, Al – Sultan Abdullah menzahirkan impian untuk memandu menelusuri laluan Projek Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.
Titah Seri Paduka, program kembara berkenaan sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak.
Sementara itu, Doris Sophia berkata, beliau secara peribadi tersentuh mendengar hasrat yang dizahirkan oleh Al – Sultan Abdullah semalam.
“Ini kerana Baginda mahu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara rakyat, raja dan pemimpin,” katanya.
Berkenaan sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung pula, Doris Sophia berharap agar peruntukan untuk pembangunan wanita di Malaysia diluluskan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari nanti.
“Setidak-tidaknya, jumlah peruntukkan itu sama seperti tahun lepas supaya perancangan untuk meningkatkan pendapatan wanita dapat dilaksanakan,” katanya. -TVS