KUCHING, 14 Feb: Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan The University of Melbourne, Australia bagi memperkasakan perkhidmatan awamnya.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Abdullah Zaidel berkata, langkah berkenaan selaras dengan hasrat disuarakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu perkhidmatan awam sentiasa dikemaskini.
“Oleh itu mereka (penjawat awam) perlu mendapatkan input baharu untuk meningkatkan kemahiran.
“Sebagai contoh, Abang Johari menyebut, seorang jurutera memerlukan kemahiran pengurusan profesional yang baik. Ini boleh dilakukan dengan menyertai program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat bertemu Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir delegasi dari The University of Melbourne yang diketuai oleh Dekan Bersekutu, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Dr Mathew Greenwood – Nimmo.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, Abang Johari memberi sokongan padu kepada kerjasama berkenaan.
Sementara itu Greenwood-Nimmo berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Pengurusan Sarawak (MASSA) untuk menganjurkan program kepimpinan perkhidmatan awam.
Kata beliau, program berkenaan relevan untuk penjawat awam di Sarawak.
“Kami bermatlamat untuk memanfaatkan apa yang dilakukan di Melbourne.
“Berdasarkan kedudukan dalam ranking universiti global, (kami yakin dapat memberi) latihan sewajarnya kepada anggota perkhidmatan awam di Sarawak,” ujarnya. -TVS