BINTANGOR, 14 Feb: Seramai 157 penduduk hilang tempat berteduh akibat kebakaran di Rumah Panjang Dangat di Sungai Kawi, di sini pagi tadi.
Kejadian pada pukul 9.20 pagi itu berlaku ketika sebahagian besar penghuni keluar bekerja sekali gus menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Penolong Penguasa Bomba, Nicholas Belulin berkata, kebakaran bermula di satu bilik dalam rumah panjang berkenaan yang kemudiannya merebak dengan pantas ke bilik lain.
“BBP Bintangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.30 pagi dan segera mengerahkan seramai sembilan orang anggota selain turut mendapat bantuan dari BBP Sarikei,” katanya ketika ditemui TVS pada hari ini.
Beliau berkata, usaha memadamkan kebakaran berjaya ‘menyelamatkan’ 16 pintu rumah daripada keseluruhan 34 pintu rumah di situ.
Katanya, tiada sebarang laporan kecederaan dalam kejadian itu kerana kesemua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri.
Punca dan jumlah kerugian katanya, masih dalam siasatan. – TVS