KUALA LUMPUR, 14 Feb: Sejumlah RM4 juta telah diperuntukkan untuk mengatur gerak pasukan penyelamat pelbagai agensi Malaysia untuk misi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, dana itu dibahagi sama rata untuk dua pasukan penyelamat ke negara berkenaan.
“Pasukan pertama terdiri daripada 70 orang membabitkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) termasuk penyertaan ahli Pasukan MyTeam Relief yang berkepakaran daripada Unit HAZMAT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Perubatan, Kor Kesihatan Diraja dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), telah berlepas ke Turkiye pada 6 Februari lepas.
“Manakala pasukan kedua dengan kekuatan seramai 70 orang yang terdiri daripada Pasukan SMART, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dihantar dua hari kemudian.
“Sehingga kini, kekuatan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Malaysia adalah seramai 140 orang,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh semasa sidang Parlimen di sini hari ini.
Setakat 13 Februari, sebanyak 141 pasukan Urban Search and Rescue (USAR) antarabangsa telah berada di Turkiye termasuk Malaysia.
Tambah Anwar, pasukan USAR yang telah berjaya mengeluarkan 194 mangsa masih hidup di bawah runtuhan serta 416 mangsa yang sudah meninggal dunia.
Sementara itu Perdana Menteri turut memaklumkan, seramai 110 orang anggota Perkhidmatan Kesihatan ATM bersama kelengkapan dari Hospital Medan Malaysia Tahap 3 juga telah diatur gerak dan kini beroperasi di wilayah Adiyaman.
“Hospital Medan ini berkapasiti 60 buah katil yang dilengkapi dengan kemudahan wad, bilik pembedahan, Unit Rawatan Rapi (ICU), radiologi dan makmal,” katanya. -TVS