Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengurus Restoran Hameediyah Sungai Ara, Muhamad Salim Ahamed Seeni Pakir (kanan) dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan (dua dari kanan) menunjukkan Menu Rahmah nasi kandar yang akan ditawarkan di Restoran Hameediyah Sungai Ara di sini. Foto: TVS

Restoran nasi kandar ‘mahal’ turut tawar Menu Rahmah

GEORGE TOWN, 14 Feb: Biarpun nasi kandar sering disebut sebagai makanan ‘kayangan’ berikutan sesetengah hidangannya boleh mencecah puluhan atau ratusan ringgit, namun restoran nasi kandar tertua di negeri ini, Restoran Hameediyah tidak ketinggalan mengambil inisiatif menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5.

Ia merupakan kedai nasi kandar pertama di negeri ini yang menawarkan menu tersebut dengan pilihan lauk ayam goreng atau daging bersama sayur kubis.

Hidangan yang disertakan bersama air sirap itu boleh didapati di dua rangkaian restoran tersebut di Lebuh Campbell dan Sungai Ara di sini bermula bulan depan.

Pengurus Restoran Hameediyah Sungai Ara, Muhamad Salim Ahamed Seeni Pakir berkata, menu itu akan ditawarkan selama lima jam bermula pukul 5 petang sehingga 10 malam pada setiap hari.

Ujarnya, dalam usaha menyokong saranan kerajaan membantu meringankan beban rakyat, sebanyak 15 ekor ayam dan lapan kilogram daging lembu akan diperuntukkan setiap hari dengan kos yang ditanggung pihaknya sebanyak RM8.50 bagi setiap set.

“Sebagai permulaan, kita akan sediakan hidangan ini selama tiga bulan sebelum ia akan dikaji semula mengikut faktor harga bahan mentah.

“Sebelum ini, kita pernah menawarkan menu sama ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada harga RM6 dalam usaha membantu golongan yang terkesan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Muhammad Salim ditemui pada majlis pelancaran Menu Rahmah yang dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan di restoran terbabit.

Untuk rekod, restoran tersebut beberapa kali menjadi sebutan dan tular di media sosial apabila terdapat pelanggan berkongsi mengenai harga makanan yang dijual termasuklah nasi kandar berlaukkan dua ekor sotong goreng berharga RM100.

Menu sotong goreng yang popular di restoran terbabit ditawarkan pada harga RM10 hingga RM150 seekor. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan