KUCHING, 14 Feb: Sebanyak 160 tapak bazar Ramadan disediakan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada tahun ini, bermula Khamis, 23 Mac hingga Jumaat, 21 April 2023.
Datuk Bandarnya, Datuk Wee Hong Seng berkata tapak berkenaan akan diadakan di tempat letak kereta Pusat Komersil Stutong dan Pasar Komuniti Stutong.
Menurutnya sewa jumlah tapak yang ditawarkan telah meningkat sekali ganda berbanding sebelumnya ekoran mendapat permintaan dari peniaga.
“Sewa yang ditawarkan kepada peniaga tempatan hanya RM 250 bagi gerai jualan bulan Ramadan dan RM 500 bagi gerai jualan sempena perayaan Aidilfitri dengan deposit yang dikenakan hanya RM 100.
“Kami (MBKS) tidak berniat untuk membuat untung kerana itu kadar sewa yang ditawarkan serendah ini sebaliknya kami ingin membantu peniaga tempatan untuk meraih pendapatan lebih terutama mereka yang terkesan selepas Pandemik Covid-19 dengan menyediakan tapak untuk berniaga,” katanya.
Hong Seng berkata demikian pada sidang media di Tingkat 4, MBKS pada Isnin.
Sehubungan dengan itu, beliau mempelawa peniaga tempatan merebut peluang yang ditawarkan MBKS dengan mendapatkan borang permohonan di Perkhidmatan One Stop kaunter 9, tingkat bawah Dewan Bandaraya Kuching Selatan bemula hari ini dan dihantar semula sebelum 24 Febuari ini.
“Pemohon juga diminta menyertakan deposit RM 100, sijil kursus pengendali makanan, salinan sijil vaksinasi Covid-19 dan vaksinasi tifoid atas tanggungan sendiri” katanya lagi,” ujarnya.
Pemohon yang berjaya kata Hong Seng akan dihubungi pihaknya serta diminta melunaskan bayaran sewa kedua-dua bazar berkenaan sebelum ia diadakan.- TVS