KUALA LUMPUR, 14 Feb: Kembara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Sabah dan Sarawak yang dijadual tahun ini menjadi detik yang dinantikan oleh rakyat di luar bandar.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, ini kerana Al-Sultan Abdullah menitikberatkan pembangunan infrastruktur berkualiti untuk rakyat di seluruh negara.
Baca artikel berkaitan >>>>> Agong zahir impian memandu di PAN Borneo, bertemu rakyat Sabah dan Sarawak
“Apa yang menarik mengenai titah Agong semasa Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 semalam ialah apabila Baginda menzahirkan rasa gembira tentang prestasi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka siap 2024.
“Yang menyentuh perasaan juga ialah mengenai keinginan Seri Paduka untuk memandu bersama dengan Raja Permaisuri Agong bagi bertemu rakyat di luar bandar.
“Ini jelas menunjukkan Tuanku merupakan raja yang berjiwa rakyat,” katanya kepada TVS di sini hari ini.
Ketika menyampaikan Titah Diraja sempena istiadat berkenaan semalam, Seri Paduka menzahirkan impian Baginda untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo khusus untuk mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat di pedalaman Sarawak dan Sabah.
Mengulas mengenai kembara yang sedang dirancang itu, Ahmad Johnie berkata, perkara itu tidak mudah kerana jalan jauh yang bakal ditempuhi.
“Sudah pasti kalau ia jadi kenyataan, pastinya ditunggu oleh rakyat luar bandar di Sarawak. Ini akan membolehkan Baginda dapat melihat sendiri keadaan hidup rakyat luar bandar di Sarawak” katanya. -TVS