Mohd Rafi Abd Rahman, 59, yang berdepan enam pertuduhan didakwa memberikan suapan RM600 bagi tempoh enam bulan kepada seorang pemeriksa kereta motor Gred AB29 di JPJ Melaka sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang mempunyai pelekat Pepsi atau Saudagar atas kesalahan melebihi muatan.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan parkir kereta JPJ Bukit Katil di sini antara 1 Julai 2018 hingga 31 Dis 2018.
Seorang lagi tertuduh Che Fadzlie Izwan Che Johari, 36, berdepan lapan pertuduhan membabitkan jumlah suapan antara RM400 hingga RM900 kepada tiga individu berbeza di JPJ Melaka Bukit Katil sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan sama.
Kesalahan tersebut dilakukan di kawasan parkir dan Bahagian Penguatkuasaan di JPJ Bukit Katil antara 1 Jan 2019 hingga 30 April 2020.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Dalam prosiding pendakwaan yang dilakukan secara berasingan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM15,000 seorang untuk kesemua pertuduhan memandangkan jumlah suapan yang serius, di samping syarat tambahan iaitu dokumen perjalanan kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat.
Mohd Rafi yang diwakili peguam Azalea Nazihah Zulkefli merayu dikenakan jaminan minimum dengan alasan mempunyai keluarga yang perlu ditanggung selain telah menerima notis penggantungan kerja manakala Che Fadzlie yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan dikurangkan kerana telah digantung kerja dan menanggung keluarga termasuk tiga anak yang masih bersekolah.
Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM12,000 seorang untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagi syarat tambahan Mohd Rafi diarahkan melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sementara Che Fadzlie di Pejabat SPRM Seremban, Negeri Sembilan setiap bulan dengan dokumen perjalanan kedua-duanya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 10 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -TVS