Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto: Logo Institut Akauntan Malaysia

Transformasi digital kekal keutamaan MIA bangunkan profesion perakaunan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Institut Akauntan Malaysia (MIA) mengekalkan transformasi digital sebagai keutamaannya dalam memastikan profesion perakaunan terus relevan pada masa kini dan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MIA Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak berkata sehubungan itu, MIA telah menyediakan pelbagai inisiatif untuk memacu penggunaan teknologi digital dalam profesion perakaunan.

“Antaranya mencipta halaman Ekonomi Digital di laman sesawang MIA, melancarkan Bulan Digital MIA, menjalankan kaji selidik ketiga mengenai penggunaan teknologi dan menerbitkan Laporan Kajian Penerapan Teknologi Baharu Muncul dalam Program Perakaunan oleh Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut mengenai Bulan Digital MIA 2023 (MDM 2023), beliau berkata satu konvensyen secara dalam talian yang bertemakan ‘Evolusi Digital: Membuka Jalan Ke Hadapan’ itu akan berlangsung pada 16 Feb ini.

Katanya, empat webinar percuma secara mingguan dengan pelbagai topik yang berlainan iaitu digitalisasi profesion perakaunan, keselamatan siber, kisah kejayaan pendigitalan dan akauntan di masa depan juga akan diadakan sepanjang MDM 2023 yang akan menampilkan penceramah terkemuka.

Menurut Wan Ahmad Rudirman MIA berharap MDM 2023 akan dapat memacu profesion perakaunan untuk melengkapi mereka dengan pengetahuan dan kemahiran dalam menyumbang nilai tambah serta menyokong kesinambungan perniagaan dan pembangunan negara yang mampan dalam era digital ini.

Katanya, MIA juga akan memperkenalkan Anugerah Penggunaan Teknologi Digital (DTAA) buat julung kalinya pada acara kemuncak MDM 2023 sebagai mengiktiraf pencapaian luar biasa syarikat dan entiti sektor awam terhadap penggunaan aplikasi teknologi digital dalam bidang perakaunan dan kewangan.

“Acara kemuncak MDM 2023 akan diteruskan dengan Persidangan AccTech tahunan MIA 2023 pada 14 hingga 15 Mac bagi para akauntan untuk mengikuti trend, peluang dan cabaran terkini yang ada.

“Oleh itu, sertai kami dalam Persidangan MIA AccTech 2023 untuk berkongsi peluang baharu untuk meraih dan menangani cabaran yang mungkin timbul dalam perjalanan evolusi digital anda,” katanya.

Beliau berkata MIA juga akan menganjurkan Persidangan Akauntan Antarabangsa 2023 yang merupakan acara tahunan MIA yang dijangka menarik lebih ramai delegasi dari dalam dan luar negara.

Persidangan yang bertemakan ‘Future Fit Profession: Charting A Better Tomorrow’ akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 13 dan 14 Jun nanti dengan jangkaan kehadiran lebih 3,000 delegasi, katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Rudirman berkata untuk meningkatkan nilai profesion dan membina pengiktirafan, MIA akan terus bekerjasama dengan badan global dan menyelaras inisiatif agensi itu dengan agenda profesion perakaunan global secara keseluruhannya.

“Ia akan dilaksanakan seperti yang disokong oleh Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC), Persekutuan Akauntan ASEAN (AFA), Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa (IASB), Lembaga Piawaian Kemampanan Antarabangsa (ISSB), Lembaga Piawaian Pengauditan dan Jaminan Antarabangsa (IAASB), Lembaga Piawaian Pendidikan Perakaunan Antarabangsa (IAESB) dan Lembaga Piawaian Etika Antarabangsa untuk Akauntan (IESBA),” katanya.

Beliau berkata MIA juga akan meningkatkan keterlibatannya dengan Kementerian Kewangan mengenai cadangan Akta Akauntan yang baharu dan pelaksanaannya selain terus bekerjasama dengan pengawal selia dalam bidang penguatkuasaan proaktif demi tadbir urus yang baik serta kepentingan awam.

“Memandangkan risiko kemampanan dijangka kekal sebagai risiko perniagaan yang utama, MIA akan meningkatkan sokongan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk membantu memacu kesinambungan dan kemampanan perniagaan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan