Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melawat ruang pameran selepas merasmikan Sarawak Design Week’ 2023 di sini hari ini. Foto TVS.

Sarawak naik taraf teknologi, usaha capai sasaran eksport perabot – Abang Johari

BySalasiah Safian

KUCHING, 13 Feb: Sarawak sedang giat menaik taraf teknologi serta kreativiti modal insan untuk mencapai sasaran menjadi pengeksport utama perabot, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, hasrat berkenaan yang menyasarkan nilai eksport mencecah RM8 bilion menjelang 2030 mampu dicapai berdasarkan kemampuan pereka bentuk di sini.

Kata beliau, ini ditambah dengan penganjuran program seperti Sarawak Design Week 2023.

“Pameran ini merupakan antara cara untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran betapa pentingnya kreativiti dan pendekatan yang fleksibel terhadap pasaran memandangkan ia sentiasa berubah.

“Jika terdapat pereka bentuk di Sarawak yang boleh berinovasi, misalnya mampu untuk hasilkan rekaan kereta, (bermaksud) mereka juga mampu untuk merancang.

“Ia tidak hanya tertumpu kepada kerusi dan meja sahaja tetapi keseluruhan spektrum reka bentuk dalam pasaran dan di situlah pereka mesti melangkaui reka bentuk konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sarawak Design Week’ 2023 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Berkenaan prestasi eksport perabot Sarawak, Abang Johari memaklumkan, ketika ini nilainya masih kecil iaitu RM44 juta atau 1.4 peratus daripada jumlah nilai eksport bernilai RM3.1 bilion bagi kayu dan produk kayu.

Namun kata beliau, Kerajaan Sarawak sangat serius untuk mengubah industri berasaskan kayu.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Awang Tengah, SayD’Signer Sarawak sedang dalam reka bentuk untuk menghasilkan produk komersial yang boleh dieksport ke pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sarawak juga mengambil langkah untuk mendigitalkan taman perabot yang akan dibangunkan.

Pendigitalan tersebut akan dapat dimanfaatkan oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di situ untuk meningkatkan lagi nilai produk mereka.

Sarawak akan membina dua taman perabot di Demak Laut, Kuching dalam kawasan seluas 96 hektar dan di Tanjung Manis yang berkeluasan 50 hektar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan