PERAI, 13 Feb: Seramai 35 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pada pemeriksaan pihak berkuasa di kawasan perumahan teres di Taman Nagasari, di sini, semalam.
Pada operasi selama empat jam bermula pukul 3 petang itu, dua warga asing turut ditahan polis atas kesalahan jenayah.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) menerusi kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan yang tular di media sosial membabitkan isu ketenteraman awam dan kebanjiran warga asing di taman perumahan tersebut.
“PATI yang ditangkap itu melibatkan warga Myanmar dan Nepal.
“Kehadiran mereka didakwa menimbulkan kegusaran dan rasa tidak selamat dalam kalangan penduduk setempat,” kata kenyataan itu hari ini.
Operasi tersebut disertai 15 pegawai dan 157 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 42 pegawai dan anggota daripada agensi-agensi lain.
Baru-baru ini, TVS melaporkan, tindakan sekumpulan warga asing membuat bising dan bergembira di hadapan beberapa buah rumah teres di Taman Nagasari menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan.
Insiden itu mendapat perhatian apabila satu rakaman video yang memaparkan kejadian tersebut telah dimuat naik ke aplikasi sosial TikTok dan tular.
Difahamkan taman perumahan tersebut dibanjiri warga asing apabila beberapa unit rumah dijadikan asrama pekerja. – TVS