SONG, 13 Feb: Fenomena pertembungan ombak Sungai Song dan Sungai Rajang dikenal pasti sebagai punca kejadian perahu karam di Sungai Song, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan (DSP) Rowney Michael Jalak berkata, akibat ‘dipukul’ ombak sungai berkenaan, kesemua mangsa terjatuh ke dalam sungai termasuk Gawing Mancha, 35, yang masih belum ditemui.
“Berdasarkan maklumat awal, seramai tujuh orang termasuk lima lelaki dan dua wanita menaiki perahu untuk ke Pekan Song dari Rumah Ekeh Nanga Apan apabila nahas itu berlaku sekitar jam 11.00 malam tadi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, seorang kanak-kanak berusia dua tahun merupakan antara enam mangsa yang terselamat.
Sementara itu, Rowney memberitahu, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan pada pukul 12.15 tengah malam tadi namun terpaksa dihentikan pada pukul 2 pagi atas faktor keselamatan dan keadaan arus Sungai Rajang yang deras serta cuaca gelap.
“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) disambung pada pukul 8 pagi tadi melibatkan 21 orang termasuk enam anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Song, lima anggota anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song, empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) serta enam orang awam,” katanya.
Beliau memberitahu, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai orang hilang. -TVS