SONG, 13 Feb: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaikinya bersama enam yang lain karam dalam kejadian di Sungai Song, Kapit, malam tadi.
Baca artikel berkaitan di sini >>>>> Ombak sungai punca perahu karam di Sungai Song – Polis
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kesemua mangsa dalam perjalanan ke Pekan Song dari Rumah Ekeh Nanga Pan ketika kejadian pada pukul 11.17 malam tadi.
“Pihak bomba yang sedang melakukan rondaan Monson Timur Laut didatangi orang awam yang memaklumkan kejadian itu dan pasukan terus bergerak ke lokasi,” jelas PGO menerusi kenyataan media.
Menurut PGO, setibanya pasukan di situ, mereka mendapati perahu berkenaan telah karam manakala enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dan seorang dikhuatiri masih hilang.
“Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Gawing Mancha, berusia 47 tahun manakala dua mangsa yang selamat pengsan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Song untuk rawatan lanjut,” jelas PGO. -TVS