KUCHING, 13 Feb: Kuching City FC memburu kedudukan lima teratas pada penampilan pertama mereka dalam kancah Liga Super musim ini.
Ketua Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, misi berkenaan tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan termasuk mengadakan perlawanan persahabatan di Kemboja baru – baru ini.
Namun demikian, Infan menyedari, laluan yang bakal ditempuhi oleh mereka tidak semudah disangka memandangkan saingan Liga Super lebih sengit kerana dibarisi pasukan berpengalaman.
“Seluruh pasukan sudah bersedia namun pemain harus bekerja keras bagi menyahut cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aksi perlawanan persahabatan kedua skuad The Cat menentang Sri Pahang FC di Stadium Negeri Sarawak petang tadi.
Begitupun, Kuching City masih belum mempamerkan taring apabila tewas 0-3 kepada Tok Gajah.
Dalam aksi persahabatan pertama malam tadi, tuan rumah turut tewas dengan keputusan 0-1.
Baca artikel berkaitan > > > JKT impi bawa Kuching City ke Piala AFC musim depan
Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Irfan berkata, walaupun keadaan cuaca pada hari ini kurang mengizinkan kerana hujan, namun beliau berpuas hati dengan aksi ditunjukkan terutamanya oleh barisan pemain simpanan.
“Menerusi dua perlawanan persahabatan ini, kita dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan, pada separuh masa pertama, majoriti pemain simpanan saya dapat menunjukkan aksi yang baik.
“Begitupun, apabila masuknya pemain utama, rentak sedikit terumbang ambing,” katanya.
Berkenaan status pemain import Aylton Alemao, Irfan memberi isyarat yang pemain dari Barzil itu semakin hampir untuk diserap ke dalam pasukan berkenaan.
“Kita memerlukannya kerana pertahanan, Mihailo mengalami kecederaan,” katanya. -TVS