KUCHING, 13 Feb: Komuniti masjid dan surau di sekitar Petra Jaya dijangka akan menjadi pembekal sayur – sayuran kepada hotel dan restoran melalui pertanian bandar pintar yang diusahakan.
Timbalan Ketua Saintis dan Timbalan Ketua Penasihat Ekonomi Digital Sarawak, Prof. Dr Al-Khalid Othman berkata, ini susulan kejayaan program fasa pertama Smart Urban Farming yang menghasilkan sayuran berkualiti.
Katanya, setakat ini lima surau dan masjid terlibat dalam projek berkenaan malah menerima permintaan yang tinggi untuk hasil tanaman hidroponik.
“Lima surau ini telah menerima tempahan awal daripada pihak luar meskipun hasil tanaman belum ada, oleh itu bagi aspek jualan memang tidak ada masalah. Kita juga mungkin akan menjalankan urusan dengan pihak hotel dan restoran untuk menetapkan jualan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS semasa menghadiri Majlis Penyerahan Program (Fasa 2) Smart Urban Farming di Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini, hari ini.
Kata Al – Khalid, program berkenaan akan dilanjutkan ke fasa kedua yang melibatkan 20 masjid dan surau bagi menampung permintaan sayuran selain meningkatkan keluaran hasil tanaman.
Mengulas mengenai usaha untuk memperkembang rumah hijau pertanian bandar pintar yang dijalankan oleh komuniti masjid dan surau sedia ada, beliau menjelaskan setakat ini belum ada peruntukan khas yang diberikan.
“Namun kita telah menerima permohonan daripada pihak lain untuk membangunkan program pertanian bandar pintar yang serupa setelah melihat komuniti kita berjaya dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Antara surau dan masjid yang terlibat dalam aktiviti pertanian seperti ini adalah seperti Masjid Darul Husnul Khatimah, Kampung Semerah Padi Fasa 2, Surau Darul Qarar, Jalan Patingan dan Surau Darul Rahman, Taman Won Baru. -TVS