KUCHING, 13 Feb: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) memaklumkan masalah gangguan bekalan air yang berlaku semalam di Bandar Baru Samariang dan Santubong akan kembali pulih hari ini.
Penolong Pengarah (Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan) JBALB, Awang Fardillah Awang Hussin berkata, ini kerana kerja-kerja baik pulih pintu injap di Jalan Sultan Tengah telah selesai dilaksanakan oleh pihak Lembaga Air Kuching (LAK).
Katanya, tindakan seterusnya melibatkan aktiviti flushing di beberapa tempat yang akan dilakukan bagi mengelakkan pengguna dibekalkan dengan air yang kotor dan keruh.
Kata beliau, keadaan bekalan air sedang kembali pulih secara berperingkat dan mengambil sedikit masa terutama bagi kawasan yang agak jauh dan berbukit.
“Sekarang ini beberapa kawasan seperti di Rampangi dan Bandar Baru Samariang yang sudah mula terima bekalan air namun tekanan masih rendah.
“Kita jangkakan pada lewat petang ini kawasan-kawasan yang jauh seperti di Santubong dan Pantai Damai juga akan mula menerima bekalan air seperti biasa.
“Jangkaan kita gangguan bekalan air di kesemua kawasan terjejas akan selesai lewat malam hari ini,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Semalam, JBALB Sarawak memaklumkan, gangguan bekalan air yang berlaku berpunca akibat kerja-kerja baik pulih pada kerosakan injap yang berdepan beberapa isu teknikal. -TVS