KUCHING, 13 Feb: Utamakan keperluan terlebih dulu dan ketepikan kehendak, demikian nasihat Pakar Ekonomi, University College I-Cats, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor.
Saranan itu diberikan kepada rakyat di negara ini terutamanya apabila berdepan dengan situasi ekonomi yang meruncing ketika ini.
Ujarnya, perbelanjaan perlu dikawal bagi mengelakkan masalah kewangan lebih-lebih lagi jika terpaksa menanggung hutang.
“Justeru,masyarakat sewajarnya harus tahu meletakkan keutamaan dan membezakan antara keperluan dan kehendak, sebelum berbelanja.
“Jadi kita harus ada strategi pengurusan kewangan, iaitu kurangkan berbelanja barangan yang tidak penting serta berbelanja dengan berhemah seperti membuat perbandingan harga sebelum berbelanja,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kaji selidik Bank Negara Malaysia (BNM) yang mendapati 30 peratus rakyat Malaysia merasakan hutang mereka membebankan.
Perkara itu seterusnya dilihat menjadi masalah jangka masa panjang dalam kalangan pekerja bergaji di Malaysia.
Sementara itu, tambah Shazali, ramai dalam kalangan masyarakat kita sebenarnya tidak memahami konsep asas menyimpan.
“Bagi kebanyakan orang, mereka akan menyimpan apabila mempunyai lebihan wang namun pada hakikatnya kebanyakan orang tidak mempunyai lebihan wang pada akhir bulan untuk disimpan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya masyarakat membuat simpanan terlebih dahulu sebelum berbelanja.
“Ketepikan sedikit wang daripada gaji yang diterima untuk dijadikan simpanan sebelum melakukan perbelanjaan yang lain,” ujarnya. -TVS