KUCHING, 12 Feb: Sarawak bercadang menjalinkan kerjasama dalam membina empangan hidroelektrik di ibu kota negara (IKN) baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu masih di peringkat kajian.
“Ini membuktikan Sarawak berjaya melebarkan pengaruhnya dan menjalin kerjasama dengan negara-negara lain atas keyakinan mereka terhadap dasar kita,” katanya semasa berucap pada Majlis Apresiasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di sini pada malam Sabtu.
Hadir sama, isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Abang Johari berkata lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi pengesahan terhadap kerjasama Sarawak dengan Brunei membabitkan pembangunan jaringan jalan raya juga akan diteruskan.
Sementara itu, bagi kerjasama dengan Singapura pula, katanya, Perdana Menteri menyokong usaha Sarawak untuk menjual tenaga elektrik ke republik berkenaan sehingga 1,000 megawatt.
“Jika terdapat pelaburan yang datang ke Singapura yang memerlukan tenaga termasuklah pusat data dan ekonomi baru, maka Singapura akan menghantarnya ke Sarawak.
“Jadi maknanya, ia akan mewujudkan hubungan yang rapat antara kita dengan Singapura dan yang keduanya, dari sudut perdagangan karbon,” ujarnya. – TVS