KUCHING, 12 Feb: Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti tapak untuk membangunkan perumahan baharu di Satok yang melibatkan kawasan di antara Sungai Maong dan Segedup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, projek itu akan dibangunkan tidak lama menerusi Skim Pembesaran Kampung (SPK).
Kata beliau, tanah milik kerajaan negeri telah dikenal pasti untuk melaksanakan projek berkenaan.
“Sehubungan itu kita akan bangunkan tanah berkenaan dan manfaatnya akan dinikmati oleh penduduk sekitar khususnya golongan B40 dan mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.
“Fasa pertama projek pembesaran kampung itu nanti akan melibatkan 300 ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Taklimat Khas Bantuan Kewangan Mutiara Mortgage dan Kredit.
Yang turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbi.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, perincian lanjut akan diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa lawatan tapak berkenaan pada 22 Februari ini.
Ibrahim menambah, projek tersebut bertujuan untuk mengurangkan masalah kepadatan penduduk di Satok.
“Pelaksanaan projek ini penting bagi menempatkan penduduk susulan pertumbuhan populasi di kawasan tersebut selain peningkatan kos pemilikan rumah.
“Sebelum ini, saya pernah membangkitkan isu berkenaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, pada Mei tahun lalu,” katanya.
Berkenaan program yang dirasmikannya, Ibrahim memberitahu, ia merupakan antara usaha untuk mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai skim yang terdapat di bawah syarikat itu untuk membantu penduduk Satok memohon skim rumah mampu milik. -TVS