KAHRAMANMARAS, 12 Feb: Ketua Misi Kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Sani Araby Al-Kahery menegaskan bantuan yang disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye adalah berdasarkan keperluan mereka dan bukannya atas keinginan aktivis.
Katanya, agensi wakaf Kerajaan Turkiye, Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) telah menetapkan bantuan berdasarkan laporan semasa.
“Kita mahu beri pelbagai jenis bantuan namun pihak Diyanet Vakfi lebih tahu apa yang diperlukan di sini,” katanya kepada media setelah membuat tinjauan titik pengedaran bantuan di Kahramanmaras.
Antara bantuan yang mustahak ketika ini ialah seperti penjana kuasa dan kayu api.
Pihak TDV juga telah menggerakkan sebanyak 12 treler dengan dapur mudah alih untuk menghantar makanan kepada barisan hadapan yang menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) selain menghantar 300 selimut kepada mangsa.
Sementara itu, mengulas mengenai cabaran yang dihadapi aktivis bantuan kemanusiaan, Sany Araby berkata, suhu yang semakin menurun merupakan antara faktor yang menyukarkan kumpulan SAR untuk menjalankan misi.
Jelasnya, tempoh enam hingga 10 hari ini pertama bencana merupakan waktu kritikal bagi menyelamatkan mangsa yang masih bernyawa.
“Perkara ini tidak mudah kerana siang dan malam mereka mengejar waktu. Saya kira mereka juga sedaya upaya memberikan khidmat terbaik kepada mangsa yang terselamat dalam cuaca bersuhu -5°C dengan tiupan angin pada waktu malam yang menyukarkan lagi keadaan,” katanya.
Terdahulu, MAPIM menghantar seramai 11 orang delegasi dari Kuala Lumpur bersama lapan aktivis Global Ikhwan Istanbul ke Gazientep untuk bekerjasama dengan TDV bagi melaksanakan bantuan kemanusiaan. -TVS