PERTANDINGAN ratu cantik di Sarawak sememangnya mempunyai kelompok peminat yang ramai malah menjadi kebiasaan bagi setiap daerah di sini menganjurkannya.
Kemeriahan pertandingan ratu cantik turut dirasai apabila sering menjadi ‘penambah’ keceriaan ketika sambutan Hari Gawai.
Ini kerana akan dianjurkan Kumang Gawai yang melibatkan penyertaan kaum Iban, Orang Ulu dan Bidayuh.
Pada tahun ini, TVS turut menyertai kemeriahan pertandingan ratu cantik di Sarawak apabila menerbitkan program realiti ratu cantik pertamanya, Dara Kenyalang.
Pertandingan ratu cantik bukan sekadar rupa
Program sebanyak 13 episod ini akan menguji para finalis dengan tugasan yang pastinya akan mencabar kebolehan mereka.
Sepanjang program ini, penonton akan ‘dibawa’ menyertai misi pencarian seramai 16 peserta akhir di seluruh Sarawak untuk dinobatkan sebagai juara Dara Kenyalang.
Sudah pasti beberapa kriteria penting akan dinilai oleh juri dalam sesi uji bakat termasuklah bakat, kepintaran menjawab soalan, keterampilan dan pengetahuan mengenai budaya masing-masing.
Daripada 16 peserta ini, hanya 12 sahaja akan mara ke pusingan akhir dengan seorang akan dipilih untuk dimahkotakan sebagai juara Dara Kenyalang musim pertama.
Baca artikel berkaitan > > > Dara Kenyalang ketengah pertandingan ‘Pekit Kumang’ versi kontemporari
Barisan juri-juri bukan calang-calang, ada bekas ratu cantik!
Barisan juri program ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam pertandingan ratu cantik selain berpengetahuan mengenai adat, tradisi dan kesenian kaum dan budaya Sarawak.
Dua juri tetap Dara Kenyalang ialah Angela Martin dan Wendy Earnest.
Angela mula melibatkan diri dalam dunia ratu cantik sejak usia remaja malah pernah memenangi Kumang Gawai Sarawak dan Ratu Kebaya Sarawak.
Angela juga merupakan pengasas Angel Impact Management yang mengajar wanita cara-cara catwalk, teknik menjawab soalan, dandanan rambut serta tips solekan.
Seorang lagi juri, Wendy pula merupakan bekas Ratu Cantik Dayung Sangon 1996 dan juara Mrs Sarawak 2005 yang telah berkecimpung dalam pertandingan ratu cantik sejak berusia 20 tahun.
Sepanjang Dara Kenyalang berlangsung, penonton berpeluang melihat beberapa juri jemputan beraksi yang terdiri daripada bekas ratu cantik yang pernah mewakili negeri.
Misi mencari Dara Kenyalang dari seluruh Sarawak
Episod pertama rancangan ini memaparkan peserta yang menjalani sesi uji bakat di Kuching dan Serian. Mereka terdiri daripada:
Emmyissa Valerie, Kuching, 21
Desheila Amyra, Kuching, 23
Tonnia Kisi, Bau, 22
Monica Syazliana Sandin, Saratok, 20
Clera Punggi, Sri Aman 25
Amanda Stacy, Bau, 19
Joecylyn Amil, Lundu, 25
Lofrenska Fezzie, Serian, 22
Siapakah yang bakal meraih Mahkota Dara Kenyalang yang pertama?
Ikuti Dara Kenyalang di semua laman media sosial TVS Entertainment iaitu Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube dan juga laman sosial Dara Kenyalang di Instagram dan TikTok.
Dara Kenyalang mula bersiaran hari ini (Ahad) di TVS pada pukul 3 petang. Siaran ulangan pada pukul 2 petang setiap Rabu dan Jumaat 8.45 malam, hanya di saluran 122 Astro dan MYTV.