Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fredancia Gawai (kiri) ,Hariz Hizami Hatta (tengah) dan Dee Celestra (kanan) ketika ditemui TVS di Tebingan Kuching, hari ini. Foto: Mohamed Rafiq (TVS)

Rakyat Sarawak sambut baik langkah pendigitalan khidmat JPJ

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 11 Feb: Rakyat Sarawak menyambut baik keputusan kerajaan yang tidak lagi mewajibkan pelekat cukai jalan dipamerkan di kenderaan serta keperluan lesen memandu fizikal.

Tinjauan TVS di sekitar Tebingan Kuching mendapati rata-rata daripada mereka menyifatkan ia sebagai langkah ke hadapan dan tepat pada masanya.

Menurut Dee Celestra, 22, kelonggaran yang diberikan kerajaan itu memudahkan pengguna yang kini mempunyai pilihan lain dan tidak perlu mempamerkan lagi serta membawa kedua-dua dokumen itu sepanjang masa.

“Pada pandangan saya, ia bagus, contohnya, kalau pemandu lupa membawa lesen memandu atau cukai jalan hilang, mereka boleh guna aplikasi yang diwujudkan pihak kementerian.

“Pengguna boleh menggunakan aplikasi berkenaan sebagai bukti jika diminta untuk menunjukkannya,“ katanya.

Turut senada, Fredancia Gawai, 25, yang beranggapan langkah tersebut lebih melancarkan urusan pengguna, namun, beliau berpandangan bahawa pengguna perlu terus kekal mempamerkan cukai jalan dan membawa lesen memandu mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya rasa langkah tersebut bagus, tetapi saya pilih untuk terus membawa dokumen yang diperlukan.

“Kita takut kalau ada masalah seperti capaian internet tidak baik, ia akan memberi masalah kepada kita apabila dokumen tersebut diperlukan, “ ujarnya.

Sementara itu, Hariz Hizami Hatta, 20, memuji langkah tersebut, namun beliau berharap kerajaan dapat meneliti beberapa aspek mengenai pelaksanaannya agar ia tidak memudaratkan pengguna.

“Saya menyokong langkah kerajaan itu, namun saya fikir kerajaan harus memastikan aplikasi itu sentiasa diselenggara dengan baik.

“Ini kerana kita tidak mahu aplikasi yang memudahkan pengguna, akhirnya, menyukarkan kita, “ jelasnya.

Sebelum ini, pada Jumaat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada cermin hadapan dan pemandu tidak perlu membawa lesen memandu secara fizikal.

Sebaliknya, beliau berkata, pemilik dan pemandu kenderaan kini boleh menggunakan mod paparan digital iaitu menerusi aplikasi MyJPJ.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk mendigitalkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan