TATAU, 11 Feb: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila lori treler tanpa muatan yang dipandunya terbakar berhampiran Kilang Semanok dekat Jalan Sibu-Bintulu di sini awal pagi tadi.
Pemandu berusia dalam lingkungan 40-an itu bertindak berhenti dan keluar serta-merta daripada kenderaannya setelah menyedari api mula marak di bahagian tayar belakang lori.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM,) Zon 5, Â Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya yang menerima panggilan kira-kira 6.38 pagi tadi bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan keluaran operasi mendapati tayar bahagian belakang lori treler 14 tayar sedang terbakar dan merebak dengan pantas,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Menurutnya, bomba terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada tangki jentera hingga kebakaran dapat dikawal serta dipadamkan sepenuhnya.
“Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 40 minit dan seterusnya anggota membuat pemeriksaan lanjut untuk memastikan api terpadam sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, lori treler berkenaan sedang dalam perjalanan dari Bintulu ke Saratok apabila pemandu menyedari api bermula di bahagian bawah lori mengakibatkan kenderaan berat itu terbakar 50 peratus.
Operasi ditamatkan pada jam 7.20 pagi setelah pasukan operasi memastikan keadaan sekeliling benar-benar selamat sebelum bertolak balik ke balai. – TVS