KUCHING, 11 Feb: Komited serta fokus melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pelajar menjadi kunci kejayaan Daphne Chieng Joo Ting melayakkan diri merangkul Anugerah Akademik Terbaik dan Anugerah Khas Pengetua pada Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, hari ini.
“Saya berasa gembira dan bersyukur dengan kejayaan yang dicapai. Pada masa sama, saya juga berterima kasih kepada ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan saya yang lain”.
“Untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang, kita harus bertanggungjawab dan mempunyai komitmen dalam apa sahaja yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang SMK Green Road di IPG Batu Lintang pada Sabtu.
Kegembiraan serupa diluahkan Afiq Haiqal Abdullah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sahsiah Murid Terbaik sambil merendah diri bahawa dirinya tidak layak untuk merangkul anugerah yang ‘besar’ itu.
“Sejujurnya saya merasakan ramai lagi yang lebih layak daripada saya dalam memenangi anugerah sebesar ini”.
“Jangan pernah malu dan takut untuk mencuba kerana kita tidak akan tahu apa yang akan jadi pada masa akan datang. Selain itu sentiasa amalkan sikap hormat-menghormati kepada orang tua dan guru,” ujarnya.
Majlis hari ini turut menyaksikan Anugerah Kepimpinan Terbaik, menjadi milik Dion Vun Neng Jie, yang berada sebaris dengan rakan-rakannya yang juga cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum membuatkan dirinya tidak menjangka membawa pulang anugerah khas tersebut.
“Pengurusan masa adalah faktor yang penting dalam mencapai kejayaan kerana jika kita dapat menguruskan masa dengan sebaiknya, maka saya boleh katakan tiada halangan untuk anda melakukan yang terbaik dalam akademik dan kokurikulum,” katanya.
Situasi serupa diluahkan Laura Lim Ler Shuen, yang meraih Pelajar Terbaik Bahasa Inggeris Tingkatan Tiga sambil mendedahkan dirinya pernah mencapai keputusan tidak baik sebelum ini.
“Saya bukan seorang pelajar yang bijak sewaktu sekolah rendah dahulu. Tetapi saya mula belajar bersungguh-sungguh selepas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Sangat penting untuk ada jadual ulangkaji yang konsisten, mengaplikasi teknik dan mendapatkan tips daripada senior selain membuat banyak latih tubi dan menyertai pertandingan,” katanya.
Terdahulu, majlis tersebut meraikan kejayaan seramai 153 pelajar cemerlang di sini dengan acara penganugerahan kepada pelajar telah disempurnakan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Abdul Samad Gani yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki merangkap alumni SMK Green Road. – TVS