SARIKEI, 11 Feb: Pendekatan proaktif Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya menarik penyertaan golongan muda untuk menyertai pasukan sukarelawan itu di daerah ini.
Pegawai Pertahanan Awam Sarikei, Leftenan Pertahanan Awam, Shahrol Azizi Zaidi berkata, latihan disertai seramai 37 anggota baharu yang sebahagian besarnya golongan muda sekali gus membuktikan kesedaran mereka terhadap perkhidmatan APM semakin meningkat.
Malah katanya, kesemua peserta menunjukkan komiten tinggi selain mematuhi arahan yang diberikan sepanjang program selama dua hari itu.
“Program yang diadakan kali ini sejajar dengan pengambilan anggota sukarelawan baharu dan hasrat untuk memantapkan lagi peranan APM khususnya di peringkat komuniti.
“Kesemua anggota terdiri dalam kalangan mereka yang berusia 19 hingga 51 tahun itu dari sekitar daerah Sarikei, Pakan dan Julau,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Beliau berkata, semangat tinggi yang ditunjukkan peserta juga membuktikan mereka menyedari pembabitan dalam pasukan itu mampu membentuk jati diri dan nilai-nilai yang positif.
“Biarpun berdepan latihan yang agak mencabar namun, saya cukup kagum dengan semangat yang ditunjukkan semua peserta.
“Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada golongan muda yang berminat menyertai kami di APM dan saya juga berharap bilangan penyertaan akan terus meningkat pada masa akan datang,” tambahnya. – TVS