Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sarang burung walit yang terdapat di sebuah premis bangunan yang diserbu pihak berkuasa. Foto: PPMW5 & SFC Sibu

27 individu ditahan, ternak sarang burung walit tanpa permit

TANJUNG MANIS, 11 Feb: Sebanyak 27 individu termasuk lima wanita ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) kerana disyaki menjalankan aktiviti penternakan sarang burung walit tanpa permit yang sah di sekitar pekan di sini.

Operasi dua hari itu menurut Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili menyaksikan mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 81 tahun.

Menurutnya serbuan yang bermula pada 8 Februari lalu melibatkan sepasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sibu bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) Sibu, Majlis Daerah Matu Daro, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah, Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis serta Sarawak Energy Berhad.

 

Pasukan operasi Op Bersepadu Khazanah menjalankan serbuan di salah sebuah premis yang menjalankan perusahaan sarang burung walit secara tidak sah di sebuah bangunan di Tanjung Manis. Foto: PPMW5 & SFC Sibu

“Dalam serbuan hari pertama, pasukan bersepadu telah berjaya menahan sembilan orang lelaki tempatan yang merupakan peniaga premis berusia dalam lingkungan 39 hingga 74 tahun didapati gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen dari Kontroler Hidupan Liar untuk menjalankan penternakan burung walit yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Zulkipli menambah serbuan itu turut merampas peralatan audio, aksesori untuk memikat burung walit serta 120 keping sarang burung membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM28,885 pada 8 Feb lalu.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut pada hari keesokannya (9 Feb), pasukan bersepadu turut menahan 13 lelaki dan lima wanita tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis kerana gagal menunjukkan permit yang sah untuk menjalankan perusahaan sama,” katanya lagi.

 

Anggota BBP Tanjung Manis membantu memotong mangga pintu premis kedai yang dijadikan penternakan sarang burung walit. Foto: PPMW5 & SFC Sibu

Operasi hari kedua, melibatkan nilai rampasan berjumlah RM17,785 termasuk pelbagai peralatan serta 204 keping sarang burung walit turut disita.

Zulkipli mendedahkan laporan polis telah dibuat serta kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada SFC mengikut kesalahan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan