Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anthony Loke berkata pelaksanaan e-LKM dan e-LMM ialah langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) fasa pertama. Foto: Bernama

Tidak perlu pamer pelekat cukai jalan pada cermin kenderaan mulai hari ini

ByBernama

PUTRAJAYA, 10 Feb: Bermula hari ini (10 Feb), pemilik kenderaan persendirian warganegara tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing, tetapi boleh menggunakan mod paparan digital iaitu Lesen Kenderaan Motor digital (e-LKM).

Selain itu, Lesen Memandu Malaysia (LMM) digital (e-LMM) juga boleh digunakan dalam bentuk mod paparan digital mulai hari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media di sini hari ini berkata pelaksanaan e-LKM dan e-LMM itu ialah langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) fasa pertama.

“Perkara ini dilaksanakan secara berperingkat dengan bermulanya fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal warganegara mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaan tersebut sebelum peluasan ke fasa seterusnya,” katanya.

Mod paparan e-LKM dan e-LMM itu boleh dimuat turun melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis secara in-house.

Selaras dengan inisiatif itu, Loke berkata peruntukan di bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu ‘setiap LKM hendaklah dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan yang berkenaan’ tidak lagi akan dikuatkuasakan bagi kategori pemilik di bawah fasa pertama.

Loke berkata penguatkuasaan yang dilakukan JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan selari serta memberi jaminan penguatkuasaan tidak lagi menyaman pihak yang dibenarkan untuk tidak memaparkan pelekat LKM pada cermin depan kenderaan.

“Sekiranya pemilik disaman kerana tidak memaparkan LKM, boleh menghantar kepada Kementerian Pengangkutan untuk ‘no further action‘ (tiada tindakan lanjut) kerana pengecualian itu akan diwartakan dalam masa dua minggu lagi,” katanya.

Loke berkata orang ramai tidak perlu panik kerana pemaparan secara digital belum diwajibkan dan pemilik diberi pilihan kerana pelaksanaan advokasi dilakukan dalam tempoh setahun untuk rakyat menyesuaikan diri dengan sistem digital itu serta mengambil kira kekangan pemilik di kawasan pedalaman khusus di Sabah dan Sarawak.

Dalam tempoh pelaksanaan fasa pertama, kategori pemilik atau pemegang lesen kenderaan yang masih wajib mempamerkan LKM ialah persendirian syarikat, kenderaan pemilikan warga asing dan kenderaan perdagangan meliputi kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam.

Kad LMM pula ialah pemegang lesen belajar memandu (LDL), pemegang lesen vokasional (PSV/GDL/KON), pemegang lesen memandu bagi warganegara asing dan pemegang lesen memandu negara luar oleh pemandu warga asing (IDP).

Loke berkata langkah pendigitalan itu mampu mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ sehingga 80 peratus, yang setiap bulan secara purata sebanyak 1.5 juta kenderaan perlu memperbaharui LKM.

Beliau berkata langkah digitalisasi JPJ fasa pertama itu juga boleh membawa penjimatan sebanyak RM96 juta setahun dari segi kos pelekat dan kad.

“Rakyat juga dapat penjimatan dari segi masa dan tidak perlu bayar pihak ketiga untuk penghantaran pelekat (fizikal),” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan