JAKARTA, 10 Feb: Misi Malaysia bersama Indonesia ke Kesatuan Eropah (EU) bagi menangani permasalahan kemasukan komoditi akan dilaksanakan pada Mei, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, strategi akan dirangka mengetahui dan memberi maklum balas terhadap perkembangan dasar semasa blok itu terhadap minyak sawit.

Beliau memberitahu antara isu yang akan diteliti merangkumi keseluruhan komoditi daripada hasil perladangan Malaysia ekoran EU menekankan permasalahan penebangan atau pembukaan lahan (land clearing).
Malaysia juga kata Fadillah akan memaklumkan kepada EU mengenai perkara penanaman semula memacu kepada Dasar Kehutanan yang telah ditetapkan.

“Kita akan memaklumkan kepada mereka (EU) usaha kita sebenarnya lebih banyak kepada penanaman semula, namun itu tidak dilihat oleh mereka,”katanya kepada TVS selepas melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan, di sini.
Setakat ini, Malaysia telah menjalankan program berkenaan untuk menanam semula pokok-pokok hutan berhubung segelintirnya cukup tempoh untuk ditebang dan seterusnya harus di tanam semula.
Fadillah memberitahu perkara berkenaan juga akan dibawa ke peringkat ASEAN agar pelbagai strategi yang telah dicadangkan memiliki suara yang lebih kuat ekoran Malaysia merupakan negara pengeluar getah dan kelapa sawit di rantau ASEAN.