KUCHING, 10 Feb: Bekas Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datu Ken Leben dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (Kawalan) berkuat kuasa 7 Februari lepas.
Ken merupakan anak Sarawak pertama dilantik memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia setelah berkhidmat sebagai Pengarah Imigresen Sarawak sejak 2016.
Sehubungan itu, beliau hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia untuk memaklumkan perpindahannya ke Putrajaya.
Dalam pertemuan itu, Ken berkata beliau turut memaklumkan mengenai keadaan semasa situasi kawalan serta cadangan penambahbaikan ke atas imigresen di Sarawak.
“Dalam masa yang sama, saya telah memberi maklumat terkini berkenaan situasi kawalan imigresen di Sarawak kepada beliau.
“Saya turut memaklumkan perkembangan terkini tentang dasar-dasar yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan juga dasar yang sesuai dilaksanakan di Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat itu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak, Azlan Othman. – TVS