LIMBANG, 9 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Limbang merekodkan rampasan bernilai lebih RM250,000 membabitkan 22 kes di daerah ini dalam tempoh Januari hingga awal Februari ini.
Ketua Cawangan KPDN Limbang, Pulnama Tarah berkata nilai berkenaan merangkumi pemeriksaan ke atas 721 premis perniagaan yang terdapat di daerah berkenaan.
Menurutnya daripada jumlah kes terbabit sebanyak 13 kes membabitkan kesalahan di Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011, dua kes dibawah Akta Timbang Dan Sukat 1972, manakala tujuh kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Nilai rampasan yang kita peroleh setakat ini adalah lebih RM250,000 iaitu ia cukup tinggi dan hasil daripada data ini menunjukkan ada peningkatan kes berbanding tahun lepas pada tempoh yang sama iaitu Januari dan awal Februari tahun ini,” katanya ketika ditemui TVS di pejabatnya hari ini.
Dalam pada itu, Pulnama menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menyalahi undang-undang.
Pada masa sama, beliau menasihati para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan selain meminta kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat dan aduan mengenai penyelewengan dan penyeludupan kepada pihaknya. – TVS