KUCHING, 9 Feb: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berminat untuk terus meneroka kerjasama melibatkan pelaburan baharu dengan Kerajaan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, ini kerana Kerajaan Sarawak mempunyai visi yang jelas berhubung agenda ekonomi termasuk ekonomi hijau dan pendigitalan.
“Ketika ini kita mempunyai pelaburan terus dengan Sarawak (namun) LTAT ingin mencari ruang kerjasama yang lebih luas untuk aktiviti pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Nazim berkata, LTAT juga percaya kerjasama itu kelak akan memberi manfaat bersama.
Dalam pada itu katanya, langkah Sarawak meneroka industri baharu di bawah kepimpinan Abang Johari sangat bertepatan untuk memacu ekonomi masa hadapan. -TVS