Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain boling Sarawak, Nur Hazirah Ramli bakal membawa cabaran Malaysia pada Piala Remaja Dunia IBF di Peru. Foto, Faitullah Morni (TVS).

Atlet cemerlang Sarawak terharu terima ‘bonus’ kerajaan negeri

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 9 Feb: Barisan atlet Sarawak yang menerima insentif kecemerlangan sukan daripada kerajaan negeri meluahkan rasa bersyukur kerana sumbangan mereka tidak dilupakan.

Petinju, Daeloniel Mcdelon Bong berkata, pemberian insentif itu mampu meningkatkan motivasi atlet untuk memperoleh kejayaan yang lebih baik pada kejohanan akan datang.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Sarawak, Majlis Sukan Negeri Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak, Persatuan Tinju Sarawak dan semua jurulatih yang telah membimbing saya dan rakan sepasukan,” katanya.

Petinju yang dikenali dengan gelaran Kilat Boy itu merupakan salah seorang penerima insentif berjumlah lebih RM700 000 yang disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Daeloniel Mcdelon Bong kini bergelar atlet kebangsaan selepas meraih kejayaan cemerlang sepanjang tahun lepas. Foto Faitullah Morni (TVS).

Daeloniel yang kini bergelar atlet kebangsaan diraikan berdasarkan kejayaannya meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur, September lepas.

Selain itu atlet kelahiran Sri Aman itu turut cemerlang dengan menjuarai kejohanan antarabangsa di Pakistan selain menang pingat emas pada Pesta Antarabangsa Pulau Pinang dan Kejohanan Perlis Golden Glove.

Sementara itu, atlet boling Sarawak, Nur Hazirah Ramli yang meraih dua pingat emas pada SUKMA turut meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak terhadap usaha mereka.

“Saya sangat bersyukur kerana kerajaan melihat penat lelah kami. Semestinya saya berbangga menjadi atlet Sarawak,”katanya.

Atlet tenis Sarawak, Muhammad Aiman Hamdan turut berkongsi rasa teruja kerana memperoleh habuan lumayan daripada kerajaan negeri.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama sebahagian atlet Sarawak pada majlis penyerahan insentif oleh kerajaan negeri hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS).

“Terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana menghargai usaha kami selama ini, penat lelah sepanjang menjalani latihan dan kami telah buktikan menerusi pungutan pingat emas,” ujar Aiman yang kini sedang membuat persiapan untuk Sukan Sea 2023 di Kemboja.

Jaguh tenis Sarawak, Muhammad Aiman Hamdan (kiri) dan Jimmy Liong Kai Long yang meraih emas acara beregu lelaki pada SUKMA 2022 turut diraikan hari ini.

Atlet para renang, Fraidden Dawan yang beraksi dalam Sukan PARA ASEAN 2022 menjadi atlet yang menerima habuan tertinggi apabila menerima insentif berjumlah RM24,000 selepas berjaya membawa pulang tiga pingat emas.

Sementara itu, juara dunia acara powerlifting, Bonnie Bunyau Gutsin menerima insentif berjumlah RM8,000 selepas berjaya membawa pulang satu pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Insentif bagi atlet SUKMA ke-20 Kuala Lumpur 2022 merekodkan jumlah keseluruhan RM519,250 manakala bonus untuk atlet Sarawak yang cemerlang pada Sukan Sea 2021 Hanoi, Vietnam pula sebanyak RM68,000.

Bagi insentif kemenangan Sukan Komanwel, Birmingham, kerajaan negeri mengagihkan jumlah sebanyak RM23,000.

Habuan kemenangan bagi Sukan PARA Asean 2022 pula ialah sebanyak RM109,000. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan