GEORGE TOWN, 9 Feb: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 23 nelayan terdiri daripada 22 warga Kemboja dan seorang warga Thailand di atas sebuah bot nelayan tempatan di 5.8 batu nautika barat daya Pulau Kendi dekat sini malam tadi.
Penahanan menerusi Op Pertiwi dan Op Tanjung kira-kira pukul 8.10 malam itu dibuat selepas pasukan APMM melakukan pemeriksaan ke atas bot tempatan kelas C tersebut yang dilihat mencurigakan.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritm Abd. Razak Mohamed berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Thailand dan bersama 22 kru warga Kemboja berumur antara 21 hingga 46 tahun.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati 13 daripada kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemilik bot turut didapati melakukan kesalahan kerana menggajikan warga asing untuk menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyatan media hari ini.
Kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Sementara itu, Abd. Razak berkata, bot bersama kesemua kru dan kira-kira lima kilogram hasil laut kemudiannya dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung di sini untuk siasatan lanjut. -TVS