MIRI, 8 Feb: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menubuhkan sebuah pasukan petugas di Old Man Street bagi mengubah kawasan tersebut menjadi sebahagian daripada pusat tarikan pelancongan di Miri.
Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu adalah menguruskan isu gelandangan serta melakukan pembersihan kawasan.
MBM sedang memohon dana sebanyak RM1.5 juta dari Kementerian Pelancongan Malaysia dalam usaha mencantikkan dan menambah baik Old Man Street dan perancangan mendapatkan persetujuan dari Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) menjadikan Kampung Sukan Petronas Miri sebagai tempat perlindungan sementara untuk gelandangan.
“Dalam pada itu, apa yang kita lakukan selepas membersihkan tempat gelandangan, kita akan bersihkan tempat itu seperti bersihkan longkang dan lain-lain. Kita lihat dahulu apa peningkatan kecil yang boleh kita lakukan buat masa ini,” katanya semasa ditemui di Dewan Bandaraya Miri untuk Sesi Perbincangan Old Man Street di sini, hari ini.
Antara perancangan bagi menjadikan tempat itu menarik adalah seperti menganjurkan aktiviti pada waktu malam, menubuhkan pasar malam dan menambah pencahayaan di Old Man Street.
“Jadi, pada asasnya ini adalah tujuan pasukan petugas yang kita akan umumkan pada hari ini dan kita akan mengadakan mesyuarat pertama,” katanya lagi.
Pasukan petugas ini akan terdiri daripada MBM yang berperanan sebagai penguat kuasa dan bahagian kesihatan awam dengan kerjasama agensi lain seperti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Residen Miri dan Jabatan Kebajikan Bahagian Miri. – TVS