SARIKEI, 8 Feb: Siapa sangka perusahaan roti kong pia atau kompia yang diusahakan sepasang suami isteri di Jalan Repok Sarikei mendapat sambutan ramai bukan sahaja di ‘bandar nanas’ tetapi juga penggemarnya dari luar negara.
Kompia yang dijual di premis Zhuori Biskut itu menjadi tumpuan pelanggan sebaik sahaja membuka perniagaan mereka setiap hari bermula 6 pagi.
Pemiliknya, Lee Kwong Tai, 44, berkata kompia yang seratus peratus dibakar menggunakan kayu arang itu menjadi tumpuan pelanggan pelbagai bangsa termasuk Iban dan Melayu.
“Roti kompia ini semua orang boleh memakannya tidak kira bangsa Cina, Melayu, Iban dan lain-lain. Saya menggunakan paling banyak dalam empat beg tepung sehari dan paling sedikit satu beg tepung.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pelanggan dari dalam dan luar negara yang sudi datang membeli kompia ini,” katanya.
Menurut Kwong Tai, dia mempelajari teknik pembuatan roti tradisi masyarakat Cina itu dari Sibu sebelum memberanikan diri untuk membuka perniagaan sendiri pada 1999.
Lumrah perniagaan katanya, pada peringkat awal, beliau berdepan dengan pelbagai cabaran namun, berjaya mengatasinya dengan berbekalkan kesungguhan dan keazaman yang tinggi.
Berkat kegigihan dan kesabaran, Kwong Tai dan isterinya, Kong Moi Fah, 34 dan anaknya, Amy Lee Yien Ping, 20, kini tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.
“ Saya mula menjalankan perniagaan semasa saya berumur 19 tahun pada 1999 dan sekarang sudah 24 tahun saya menjalankannya. Saya akan menutup kedai saya pada pukul 5 petang dan saya hanya akan cuti apabila saya hendak cuti,” katanya lagi.
Menurut beliau, walaupun berdepan dengan harga kayu arang yang agak mahal namun, dia tetap mahu mengekalkan cara masakan itu bagi mengekalkan rasa dan keasliannya.
Malah katanya, tidak ramai generasi hari ini mengetahui keenakan masakan menggunakan dapur arang. – TVS